OGOS 2022

MFA Mahu Melabur Di Sarawak


KUCHING: Persatuan Perabot Muar (MFA) menaruh minat untuk melabur dalam taman industri perabot yang dicadang di Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, Muar yang mempunyai kira-kira 800 pengusaha perabot adalah hab perabot terbesar di Malaysia yang menyumbang lebih RM7 bilion atau 60 peratus daripada perolehan eksport perabot negara yang bernilai RM12.7 bilion pada 2021.

Sarawak memiliki banyak kebaikan dan kemudahan dalam membangunkan industri perabot itu, katanya selepas menerima kunjungan hormat Presiden MFA, Steve Ong di Wisma Sumber Alam di sini.

Steve Ong mengetuai 18 ahli MFA dalam rangka lawatan selama tiga hari ke Sarawak. Misi lawatan itu  untuk menerokai peluang pelaburan dan perniagaan di taman industri perabot yang dicadang dibangun di Demak Laut dan Tanjung Manis.

STIDC, Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) dan Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) turut mengadakan sesi taklimat kepada ahli-ahli MFA untuk memahami dasar, insentif, kos dan sumber yang ditawarkan kepada pengilang perabot di Sarawak.

Semasa berada di negeri ini, rombongan MFA itu dibawa melawat ke tapak taman industri perabot yang dicadang di Demak Laut dan Tanjung Manis.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ll sehubungan itu menggesa ahli-ahli MFA supaya mengembangkan sayapnya ke Sarawak untuk membangunkan industri perabot di negeri ini.

Sarawak memiliki tapak perindustrian, tarif elektrik dan air kompetitif, mesra dasar perniagaan, stabil, bekalan bahan mentah yang banyak dan mapan daripada perladangan hutan dan infrastruktur yang baik.

Ini boleh membantu mengurangkan kos pengeluaran dan sangat baik untuk pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Katanya, ia bagi menggalakkan nilai tambah industri perkayuan dengan menggunakan sumber tanaman hutan untuk menjana perolehan eksport tahunan bernilai RM8 bilion menjelang tahun 2030.

Hadir sama ialah Pengurus Besar STIDC, Datu Hashim Bojet, Ketua Pegawai Eksekutif STA, Annie Ting dan Presiden SFIA, Leo Chiang Kok Sze.

Sumber dari : Jiwa Bakti